Darurat: Kerajaan perlu belajar daripada episod ini, kata Zahid

0
2

Aiman Hanif

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan kerajaan bahawa satu “langkah besar” yang diambil perlu dilakukan secara musyawarah dan konsesus.

Beliau juga menyeru pemimpin politik supaya bersatu dan memberi tumpuan kepada rakyat dalam menangani isu Covid-19 seperti mana titah Yang di-Pertuan Agong.

“Sejajar dengan titah dan harapan ke bawah duli yang maha mulia Tuanku, serta selaras dengan hasrat Umno yang mengajak kepada gencatan politik, saya berharap seluruh kepimpinan parti politik merapatkan saf di semua peringkat dan seterusnya memberi tumpuan untuk sama-sama menangani penularan pandemik Covid-19.

“Ibrah episod ini jelas mendidik kita bahawa dalam melaksanakan sebarang langkah besar yang hendak dilakukan oleh kerajaan memerlukan proses musyawarah dan penglibatan secara konsensus semua pihak.

“Justeru, sewajarnya dimulakan satu inisiatif ‘rekonsiliasi nasional’ yang merangkumi agenda politik, ekonomi, sosial dan keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Terdahulu Istana Negara hari ini memaklumkan Yang di-Pertuan Agong berpendapat tidak ada keperluan untuk kerajaan mengisytiharkan darurat bagi menangani Covid-19.

Jelas baginda kerajaan hari ini pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah berjaya menangani wabak itu dengan berkesan.

Bagaimanapun baginda meminta ahli politik supaya menghentikan ‘politiking’ dan memberi tumpuan kepada usaha kerajaan membantu rakyat.

Sementara itu Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan yakin kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan mengambil langkah wajar seperti mana titah Yang di-Pertuan Agong.

Katanya keputusan Agong dan Raja-Raja Melayu hari ini telah mempertahankan Perlembagaan, mengiktiraf kerja keras dan sumbangan luar biasa petugas kesihatan dan barisan hadapan negara serta mengutamakan kepentingan rakyat kebanyakan.

“Patik yakin kerajaan PN akan mengusahakan apa jua yang sewajarnya untuk menterjemahkan keputusan bijaksana ini.

“Keputusan ini sewajarnya mendorong semua pihak tampil demi kepentingan nasional untuk bersama-sama Kerajaan dalam memerangi pandemik global ini,” katanya dalam satu kenyataan.- Malaysiapost