Agong: Tiada keperluan isytihar darurat

0
2

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berpendapat tiada keperluan pengisytiharan darurat dibuat bagi menangani Covid-19.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menyifatkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ini telah berjaya menangani penularan wabak itu dengan baik.

“Al-Sultan Abdullah berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk Seri Paduka Baginda mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia.

“Kendatipun begitu, Seri Paduka Baginda ingin mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala ‘politicking’ yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.

“Al-Sultan Abdullah turut berpendapat bahawa tiada perlunya Ahli-ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan Kerajaan sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu lagi, Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan di sidang Parlimen adalah amat penting kepada rakyat di dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Justeru, peruntukan kewangan amat diperlukan oleh petugas barisan hadapan bagi melancarkan tugas dan tanggungjawab mereka.

“Sesungguhnya, Al-Sultan Abdullah amat prihatin terhadap kegelisahan seluruh rakyat ekoran daripada kenaikan mendadak beberapa kluster baharu dan kes positif harian Covid-19 di negara ini.

“Al-Sultan Abdullah menzahirkan keyakinan bahawa dengan semangat perpaduan dan juang yang tinggi seperti yang telah pernah dipamerkan bersama, kita mampu sekali lagi berganding bahu memerangi gelombang ketiga penularan wabak ini,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda menyeru seluruh rakyat, tanpa mengira latar belakang dan khususnya fahaman politik, mengenepikan segala perbezaan dan perbalahan untuk bersatu padu dan bersatu hati memainkan peranan masing-masing dalam membantu kerajaan dan pihak-pihak berkuasa membendung wabak Covid-19 demi keselamatan diri dan kesejahteraan negara yang kita cintai bersama ini.

Al-Sultan Abdullah turut mengambil kesempatan ini mengajak seluruh rakyat untuk bersama Seri Paduka Baginda berdoa semoga wabak Covid-19 ini dapat dibanteras dengan berkesan dan diakhiri dengan segera. – Malaysiapost