Isytihar darurat: Najib bimbang ia memakan diri PN

0
2
Pix via Malaysiapost

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bimbang pengisytiharan darurat akhirnya akan memakan diri kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Najib berkata, beliau juga bimbang dengan mengisytiharkan darurat di seluruh negara akan menghantar mesej salah kepada pengundi bahawa PN adalah kerajaan rapuh, rakus dan pentingkan diri.

Menurut Najib, undang-undang sedia ada untuk melawan Covid-19 adalah sudah mencukupi dan memadai malah ia boleh mengarahkan seluruh negara jalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ketat seperti Mac lalu.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, jika kerajaan masih tetap mahu mengisytiharkan darurat, beliau meminta ia dilakukan secara bersasar.

“Jika tetap mahu isytiharkan darurat, akta MKN (Majlis Keselamatan Negara) yang diluluskan masa BN (Barisan Nasional) membenarkan darurat diisytiharkan untuk kawasan-kawasan tersasar sahaja dan bukan untuk seluruh negara.

“Ia lebih tertumpu dan bantuan juga dapat digerakkan secara tertumpu,” katanya di Facebook hari ini.

Beliau berkata, mengisytiharkan darurat dan menggantung parlimen perlu menjadi pilihan terakhir kerana masih ada jalan lain yang boleh dipertimbangkan.

Malah, Najib percaya jika darurat diisytiharkan, sentimen rakyat terhadap pemerintah mungkin berubah menjadi negatif dan pengundi akan mula pertikaikan setiap keputusan pemerintah selepas itu.

“Jika kebimbangan ialah Bajet 2021 tidak lulus sehingga kerajaan PN tertumbang maka PN perlu berunding dan berbincang dengan semua pihak agar bajet tidak dibantah.

“Lagipun saya percaya tiada Ahli Parlimen mahu membantah bajet yang dirangka untuk bendung Covid-19, pulihkan ekonomi dan bantu rakyat pada ketika negara amat memerlukannya,” katanya. -Malaysiapost