Fitri Nizam
KES harian positif Covid-19 di negara ini menunjukkan penurunan berbanding semalam, apabila mencatatkan 823 kes baharu dan lapan kematian hari ini.
Daripada jumlah itu, 533 kes dikesan di Sabah termasuk 27 kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Titir, Kluster Omadal, Kluster Bandaran dan Kluster Jambul.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, selain Sabah terdapat 12 negeri lain turut mencatatkan kes baharu.
Katanya, Pulau Pinang mencatatkan 97 kes, diikuti Selangor (88), Labuan (26), Negeri Sembilan (22), Sarawak (16), Johor (15), Kuala Lumpur (10), Terengganu (7), Perak (6), Kedah, Kelantan dan Putrajaya masing-masing satu kes.
“Terdapat sembilan kluster baharu dikesan di beberapa negeri, antaranya Kluster Titir, Kluster Omadal, Kluster Bandaran dan Kluster Jambul di Sabah.
“Selain itu, Kluster Bayan (Pulau Pinang), Kluster Mentari (Selangor), Kluster Jernih (Negeri Sembilan), Kluster Seladah (Sarawak) dan Kluster Makekar (Terengganu),” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini, terdapat 99 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 30 kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Dari maklumat terkini dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan lapan kes kematian berkaitan Covid-19.
“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 229 kes (0.86 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” katanya.
Lapan kematian yang dicatatkan itu dilaporkan di Sabah membabitkan warganegara. – Malaysiapost

