ENAM lagi kluster baharu Covid-19 dikenal pasti di seluruh negara hari ini dengan dua daripadanya adalah di Sandakan, Sabah.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes indeks yang dikesan dalam kluster tersebut adalah melalui saringan di tempat kerja, individu bergejala dan pulang dari kawasan berisiko iaitu Sabah.
Katanya, dua kluster di Sandakan iaitu Kluster Mesra dan Kluster Megah masing-masing telah menjangkiti 22 dan 15 individu.
“Kluster ketiga dikenali sebagai Kluster Kaya yang dikesan di Seremban, Negeri Sembilan kini telah mencatatkan 55 kes positif.
“Kluster keempat ialah Kluster Bah Kayu, membabitkan daerah Gombak di Selangor serta Titiwangsa di Kuala Lumpur yang sehingga kini telah menjangkiti 17 individu.
“Kluster kelima ialah Kluster Baki di Kuching, Sarawak yang mana lima individu disahkan positif Covid-19,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, kluster keenam yang dikenal pasti ialah Kluster Kempas di Johor membabitkan daerah Johor Bahru dan Kulai yang sudah menjangkiti lapan individu. – Malaysiapost

