Covid-19: Rekod kes tertinggi 1,228 positif, 7 kematian

0
1

NEGARA mencatat jumlah kes positif Covid-19 paling tinggi dalam sejarah hari ini apabila merekodkan 1,228 kes baharu setakat jam 12 tengah hari tadi.

Ia juga pertama kali negara mencatat kes harian mencecah empat angka, menjadikan keseluruhan kes melonjak kepada 25,742 setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu, Sabah terus mencatat kes baharu paling banyak dengan 889 kes, iaitu 72.4 peratus daripada kes baharu hari ini.

Katanya, 500 kes di Sabah adalah daripada pelbagai kluster, termasuk lapan kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Mesra dan Kluster Megah, kedua-duanya di Sandakan.

“Sebanyak 253 kes lagi di Sabah daripada saringan kontak rapat kes positif Covid-19 serta 136 kes daripada lain-lain saringan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata, Negeri Sembilan mencatatkan kes kedua tertinggi selepas Sabah, iaitu 96 kes yang mana 42 daripada kluster-kluster sedia ada dan 54 kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Kaya.

Menurutnya, Selangor dan Kedah masing-masing mencatatkan 76 kes, Pulau Pinang (23), Labuan (21) dan Kuala Lumpur (19) selain Perak (10), Sarawak (8), Johor (7) serta tiga kes di Melaka.

Mengulas lanjut, beliau berkata sejumlah 502 kes pada hari ini adalah tahanan daripada Kluster Penjara Kepayan, Kluster Penjara Seberang Perai, Penjara Reman dan Kluster Tembok.

“Tujuh lagi pesakit meninggal dunia hari ini iaitu enam di Sabah dan satu di Perak, menjadikan angka keseluruhan korban kini 221 kes, iaitu 0.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya. – Malaysiapost