SERAMAI 1,223 petugas kesihatan secara kontrak yang telah diluluskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) akan bertugas di Sabah dan Labuan bermula Rabu ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pihak SPA telah memaklumkan perkara itu, pagi tadi.
“Daripada jumlah itu, seramai 624 Jururawat Gred U29, 336 Penolong Pegawai Perubatan Gred U29, 213 Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Gred U29 dan 50 Juruteknologi Makmal Perubatan Gred U29.
“Bagi Jururawat Gred U29 yang diluluskan, sebanyak 317 Jururawat Gred U29 akan ditempatkan di Sabah, manakala 18 lagi akan ditempatkan di Wilayah Persekutuan Labuan.
“Kebanyakannya terdiri daripada anak kelahiran tempatan,” katanya dalam sidang media hari ini.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berharap dengan pertambahan petugas kesihatan ini, ia akan dapat memperkukuh lagi penyampaian perkhidmatan di negeri-negeri yang berkenaan, khususnya di Sabah dan Labuan.
Katanya, selaras dengan kelulusan berkenaan, KKM akan mengeluarkan surat tawaran pelantikan kontrak kepada calon yang berjaya pada Isnin ini.
“Tarikh melapor diri bertugas ditetapkan pada hari Rabu iaitu 28 Oktober,” katanya. -Malaysiapost

