Annuar: Perebutan kuasa, PM diugut dikala Covid-19 meningkat

0
2

Aiman Hanif

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berdepan “ugutan” dalam melaksanakan tugasnya, kata Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa.

Oleh itu katanya, kerajaan perlu mencari undang-undang terbaik bagi meneruskan kerja menentang Covid-19 dan dalam masa menangguhkan perebutan kuasa.

“Kepada sahabat saya yang punya ilmu undang- undang, terutama “constitutional experts”. Bantu saya mencari jawapan perkara berikut,yang berkait dengan ketakutan rakyat terhadap penularan Covid-19.

“PRK (pilihan raya kecil) Batu Sapi wajib di adakan dalam tempoh 60 hari dari kekosongan.Tapi rakyat minta PRK di tangguhkan dan pegawai takut untuk ke zon merah.

“Tempoh DUN Sarawak tamat beberapa bulan lagi dan PRN (Pilihan Raya Negeri) wajib di adakan. Namun semua orang takut apa yg berlaku di Sabah selepas PRN menimpa Sarawak.Mereka minta PRN di tangguh dulu.

“Pelbagai pihak mengugut mahu menjatuhkan Perdana Menteri melalui sidang Parlimen bulan depan.Jika itu berlaku maka PM boleh bubarkan parlimen dan PRU perlu di adakan.Tetapi rakyat tidak mahu pilihanraya diadakan kerana takut merebaknya Covid-19,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.

Oleh itu kata Annuar, undang-undang mana yang boleh digunakan bagi menangguhkan pilihan raya dan memberi fokus kepada Covid-19.

“Undang-undang mana boleh dipakai untuk menangguhkan pilihan raya supaya kita dapat mempastikan Covid-19 terkawal dan tidak mengancam nyawa rakyat,” katanya lagi.

Semalam Mesyuarat khas Kabinet dikatakan mempertimbang untuk mengumumkan darurat kesihatan ekoran penularan wabak Covid-19.

Menurut sumber, keputusan diambil bukan saja bagi mengekang penularan wabak berkenaan tetapi juga untuk memudahkan urusan kerajaan.

“Ya, cadangan untuk mengisytiharkan darurat kesihatan,” katanya kepada Malaysiapost, ketika dihubungi.

Selepas mesyuarat Kabinet Perdana Menteri bergegas ke Kuantan bagi bertemu Yang di-Pertuan Agong.

Tambah Annuar lagi, kini beribu rakyat menerima rawatan di hospital, begitu juga petugas barisan hadapan perlu dikerahkan.

“Berbillion dana negara terpaksa di belanjakan.Itu dalam keadaan Malaysia diiktiraf dunia sebagai negara paling berjaya mengekang penularan wabak ini.

“Bagaimana agaknya kalau dalam tempoh dua tiga bulan ini kita mendahulukan perebutan kuasa politik demi demokrasi disaat rakyat sedang bertarung nyawa dengan ancaman Covid-19,” katanya lagi.