AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi melihat spekulasi ‘panas’ ketika ini seolah-olah kerajaan mahu mengelak undi tidak percaya di Parlimen.
Beliau berkata, setakat ini, belum pasti apa keputusan sebenar Mesyuarat Khas Kabinet, semalam.
“Namun spekulasi kuat mengatakan ‘Prorogued Parliament’ yang bermaksud sidang Parlimen digantung tetapi Parlimen tidak dibubarkan,” katanya.
Menurutnya, penggantungan ini untuk tempoh tertentu dan berdasarkan maklumat mengatakan Kabinet setuju untuk tempoh enam bulan sahaja.
“Selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadap Yang di-Pertuan Agong di Pahang, semalam tiada pengumuman rasmi dibuat.
“Teka-teki semalam menambahkan lagi kekeliruan rakyat. Jangan nanti rakyat tuduh kerajaan yang keliru kerana gagal bantu rakyat akibat padah ekonomi.
“Kalau betul keputusan semalam ialah ‘Prorogue Parliament’, ia boleh menimbulkan beberapa persepsi lain antaranya kerajaan dapat mengelak usul undi tidak percaya bila Parlimen digantung,” katanya menerusi hantarannya di Facebook.
Mohd Puan berkata, antara persepsi lain yang mungkin timbul adalah kerajaan mahu memastikan Bajet 2021 tidak ditolak melalui undian di Parlimen.
“Selain, Muhyiddin menganggap dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa dia sudah cukup nombor adalah benar. Justeru ‘Prorogue’ Parlimen akan menggagalkan cita-cita Anwar.
“Turut merencat keputusan Biro Politik Umno yang mahu menghantar terma hitam putih kepada Muhyiddin. Apatah lagi jika membabitkan rombakan Kabinet,” katanya.
Beliau berkata, isu lain yang timbul membabitkan persoalan besar ialah Bajet 2021 iaitu Perdana Menteri akan menggunakan perbelanjaan kecemasan untuk perbelanjaan tahun hadapan.
“Bajet itu bukan lagi bajet rakyat kerana ia tidak dibahas dan diluluskan oleh Parlimen. Ia akan dituduh bajet tidak telus,” katanya. – Malaysiapost

