Polis terima laporan pencemaran Sungai Kundang

0
2

POLIS sudah menerima laporan pencemaran di Sungai Kundang, Rawang daripada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin, berkata pihaknya menerima laporan polis yang dibuat oleh kakitangan LUAS itu petang tadi.

“Pihak polis sudah menerima laporan mengenai pencemaran air di Sungai Kundang petang tadi.

“Kertas siasatan sudah dibuka dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan.

“Siasatan oleh pihak LUAS mendapati pencemaran air dikesan di kawasan perindustrian Kundang pada jam 10.45 pagi semalam,” katanya seperti dilapor BH.

Bagaimanapun, Noor Azam berkata, setakat ini belum ada tangkapan dilakukan dan polis sedang bekerjasama dengan LUAS untuk mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.

Terdahulu, media melaporkan siasatan awal LUAS mendapati pencemaran bau dikesan daripada bahan biodiesel dan mencatat bacaan melebihi 10 ton pada aliran yang dilaporkan di kawasan yang disyaki iaitu kawasan Industri Kundang Jaya.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, siasatan lanjut LUAS bersama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ke sebuah premis yang disyaki itu mendapati bau sama sehingga 10 ton dikesan di pelepasan akhir premis berkenaan. – Malaysiapost