Muhammad Mustakim Ramli
GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mendakwa sekiranya perintah darurat membabitkan penggantungan Parlimen dan kebebasan awam, ia adalah sama seperti rampasan kuasa.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, berkata langkah itu dilihat untuk memastikan kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus kekal berkuasa.
“Perintah darurat membenarkan kerajaan lantikan Agong untuk membuat ordinan yang akan mempunyai kuasa dan kesan yang sama seperti akta oleh Parlimen dan ia akan berkuatkuasa sepenuhnya sehinggalah ianya ditarik balik atau dibatalkan serta ordinan tersebut tidak boleh dicabar di mahkamah.
“Darurat juga akan memberikan Kerajaan Persekutuan kuasa untuk melanggar bidang kuasa kerajaan negeri.
“Kali terakhir perintah darurat seluruh negara diisytiharkan pada tahun 1969 disebabkan oleh peristiwa 13 Mei ketika itu.
“Selain kerumitan yang akan timbul terhadap semak dan imbang demokratik dalam negara kita, ekonomi negara juga akan turut terjejas dengan teruk,” katanya.
Bersih 2.0 berkata, sekiranya tujuan darurat adalah untuk melawan Covid-19, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bersasar seperti yang sedang dilaksanakan sekarang adalah mencukupi.
“Akta 342 atau Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 mempunyai peruntukan yang mencukupi bagi menyediakan langkah-langkah pencegahan penyebaran Covid-19.
“Ia termasuklah kuasa untuk membuat peraturan, kawalan pergerakan orang ramai dan menggerakkan pasukan bersenjata sebagaimana yang telah kita lihat sebelum ini,”katanya.
Sementara itu, Bersih 2.0 memohon kepada semua ahli politik untuk mengenepikan sebarang perbezaan dan bekerjasama dengan persetujuan ‘keyakinan dan perbekalan’.
“Ini bermaksud pembangkang akan bersetuju untuk tidak menentang kerajaan Perikatan Nasional dalam undi percaya atau berkenaan isu perbekalan namun masih mengekalkan hak untuk membangkang rang undang-undang yang lain.
“Ini bagi memastikan bahawa bantuan belanjawan Covid-19 yang akan dibentangkan pada bulan hadapan akan diluluskan dan mengekalkan kestabilan dalam Parlimen,” katanya. – Malaysiapost

