PERDANA Menteri tiba di Istana Abdul Aziz, Kuantan bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan ke Kuantan selepas mesyuarat khas Kabinet di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.
Media melaporkan beliau tiba di pintu masuk istana pada jam 4.40 petang tadi.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, antara yang dilihat berada dalam konvoi mengekori Perdana Menteri ketika memasuki istana.
Spekulasi bertiup kencang bahawa Perdana Menteri akan mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi melaksanakan darurat kesihatan ekoran penularan wabak Covid-19.
Menurut sumber, keputusan diambil bukan saja bagi mengekang penularan wabak berkenaan tetapi juga untuk memudahkan urusan kerajaan.
Pada masa sama, ada pihak mendakwa Perdana Menteri akan mengumumkan darurat politik dan penggantungan Parlimen selama enam bulan.
Antara lain, ia bagi mengatasi ketidakstabilan politik dan mengelak lebih banyak konflik dalam sidang Parlimen akan datang.
Selain itu sumber memaklumkan, dengan pengisytiharan darurat itu berkemungkinan sidang Parlimen yang dijadual berlangsung November ini ditangguhkan.
“Sidang Parlimen juga mungkin akan ditangguhkan. Jika ada hanya untuk pembentangan Bajet saja,” katanya. – Malaysiapost

