Darurat nak selamatkan siapa? Pembangkang bidas kerajaan PN

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

WAKIL rakyat pembangkang tampil membidas kerajaan Perikatan Nasional (PN) susulan laporan menyatakan ‘darurat’ akan dilaksanakan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mendakwa langkah itu lebih kepada menutup kelemahan kerajaan.

“Darurat untuk selamatkan siapa?,” soal Ahli Parlimen Parit Buntar itu menerusi Twitter sambil memuatnaik laporan media berkaitan Kabinet bersetuju melaksanakan “darurat” bagi menangani penularan Covid-19.

“Satu lagi tamparan maut untuk menutup ketidakcekapan dan meneruskan kutukan langkah Sheraton.”

Bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin pula mempersoalkan apakah Perdana Menteri menggunakan darurat untuk terus kekal berkuasa.

“Mengisytiharkan darurat hanya untuk terus berkuasa? Jangan gunakan kebajikan rakyat sebagai topeng anda kerana itulah perkara terakhir yang anda sayangi,” katanya menerusi Twitter.

Sementara itu, bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata perisytiharan darurat tidak diperlukan untuk mengatasi wabak Covid-19.

Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran pula berpendapat negara-negara yang mencatatkan kes Covid-19 yang jauh lebih tinggi tidak memerlukan mereka mengisytiharkan darurat.

Malaysiapost sebelum ini melaporkan mesyuarat khas Kabinet hari ini dikatakan mempertimbang untuk mengumumkan darurat kesihatan ekoran penularan wabak Covid-19.

Menurut sumber, keputusan diambil bukan saja bagi mengekang penularan wabak berkenaan tetapi juga untuk memudahkan urusan kerajaan.

Pada masa sama, terdapat laporan menyatakan Perdana Menteri akan mengumumkan darurat politik dan penggantungan Parlimen selama enam bulan.

Antara lain, bagi mengatasi ketidakstabilan politik dan mengelak lebih banyak konflik dalam sidang Parlimen akan datang.

Selain itu sumber memaklumkan, dengan pengisytiharan darurat itu berkemungkinan sidang Parlimen yang dijadual berlangsung November ini ditangguhkan.

“Sidang Parlimen juga mungkin ditangguh. Jika ada hanya untuk pembentangan Bajet saja,” katanya. – Malaysiapost