Aiman Hanif
NAMA Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa disebut-sebut sebagai calon Timbalan Perdana Menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Menurut sumber, nama Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh itu dibangkitkan dalam mesyuarat khas yang berlangsung pagi tadi.
“Mesyuarat khas pagi tadi ada menyebut nama Annuar sebagai calon Timbalan Perdana Menteri.
“Namun, tidak tahu sama ada ia dipersetujui atau sebaliknya,” katanya kepada Malaysiapost.
Sebelum ini Umno membuat keputusan untuk pertimbang menarik sokongan terhadap kerajaan PN kerana tidak berpuas hati dengan beberapa keputusan dibuat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bagaimanapun kelmarin, Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan yang parti itu kekal menyokong PN.
Antara syarat yang dikemukakan pemimpin Umno kepada Muhyiddin ialah jawatan Timbalan Perdana Menteri harus diberikan kepada Umno.
Selain pemimpin Umno perlu memegang portfolio penting dalam Kabinet PN.
Sementara itu sumber berkata, agak mengejutkan juga apabila BN membuat pengumuman melantik Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Bendahari BN.
Ironinnya keputusan itu dibuat selepas nama Annuar disebut dalam mesyuarat Kabinet yang berlangsung pagi tadi.
“Sesuatu yang mengejutkan apabila tiba-tiba Hishammuddin dilantik sebagai Bandahari BN.
“Apakah Umno mahukan Hishammuddin dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri,” katanya lagi.
Sementara itu, Annuar ketika dihubungi Malaysiapost berkata beliau tidak berminat dengan jawatan, sebaliknya ia wajar diberi kepada pemimpin yang menang dalam pemilihan parti sebelum ini.
“Tidak.. saya tidak berminat, berilah kepada yang menang bertanding,” katanya. – Malaysiapost

