PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Pokok Sena, Kedah sejak 11 Oktober lalu, dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 7 November.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata saringan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga semalam mendapati masih terdapat kes positif dalam kalangan
banduan dan kakitangan penjara tersebut.
“Sehubungan itu, atas cadangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan nasihat KKM, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD Penjara Pokok Sena selama 14 hari.
“Ini bagi memastikan rantaian Covid-19 diputuskan sepenuhnya di dalam Penjara Pokok Sena terutama dalam kalangan kakitangan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Penjara Tawau dan Kuarters Penjara Taman Ehsan di Tawau pada 25 Oktober, seperti dijadualkan.
PKPD di Penjara Tawau dan kuarters itu dikuatkuasakan sejak 11 sehingga 25 September dan dilanjutkan lagi ke 25 Oktober 2020.
“Sehingga 21 Oktober, KKM telah membuat 1,250 saringan di Penjara Tawau manakala 1,196 saringan kakitangan di kuarters Taman Ehsan.
“Sehingga kini tiada lagi kes aktif direkodkan di Penjara Tawau manakala hanya dua kes di Kuarters Penjara Taman Ehsan dan
sedang menerima rawatan.
“Bagaimanapun, lokaliti ini masih tertakluk di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi seluruh Sabah,” katanya. – Malaysiapost

