Mesyuarat khas Jemaah Menteri esok bincang isu Covid-19

0
1

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mempengerusikan mesyuarat khas Jemaah Menteri di Putrajaya esok.

Ia mesyuarat pertama Jemaah Menteri selepas Umno menyatakan komitmen menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan melakukan ‘gencatan politik’ bagi memberi fokus terhadap usaha mengekang penularan Covid-19.

Sumber memberitahu Malaysiapost, mesyuarat di Jabatan Perdana Menteri itu akan memberi fokus terhadap usaha kerajaan menangani penularan pandemik Covid-19 yang kian meningkat.

Difahamkan, mesyuarat itu tiada kaitan dengan spekulasi yang mendakwa Perdana Menteri akan melakukan rombakan Kabinet dalam masa terdekat.

“Ia (rombakan Kabinet) tiada dalam agenda mesyuarat. Fokus mesyuarat itu adalah berhubung Covid-19 dan isu lain yang berkaitan,” katanya.

Sebelum ini timbul spekulasi yang Perdana Menteri akan membuat rombakan Kabinet bagi meredakan kemelut politik sejak beberapa minggu lalu.

Perkara itu dihangatkan lagi dengan penularan senarai nama menteri dan timbalan menteri serta beberapa pemimpin politik kononnya terlibat dalam rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri.

Semalam, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Umno akan terus bersama PN dalam memfokus agenda membantu rakyat dan negara mendepani Covid-19 serta kegawatan ekonomi.

Beliau berkata, Umno menetapkan pendirian untuk melakukan gencatan politik bagi memastikan agenda menangani Covid-19 dan membantu rakyat yang dihimpit kesusahan dan kegelisahan akibat hambatan ekonomi diutamakan. – Malaysiapost