SEORANG tukang urut didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Kangar hari ini selepas mengaku bersalah menawarkan khidmat seks di sebuah rumah di Behor Temak, 16 Oktober lalu.
Ibu tunggal berusia 37 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Kamaliza Md Zain.
Berdasarkan pertuduhan, wanita itu didakwa menawarkan khidmat seks bagi maksud persundalan di sebuah rumah dekat Taman Jaya Diri, Behor Temak, Kangar.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 11.20 malam 16 Oktober lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Jodia Por Yi Tying manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Wan Nursyaheedah Wan Najmi dan Nur Diyana Ab Shukor.
Wan Nursyaheedah menerusi rayuannya memohon agar tertuduh dikenakan hukuman ringan memandangkan hanya bekerja sebagai tukang urut di sebuah spa dan perlu menyara tujuh anak berusia tiga hingga 17 tahun.
Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh didenda RM4,000 dan sekiranya gagal membayar denda, dia akan dipenjara selama lapan bulan. – Malaysiapost

