Kes Khairuddin: Pegawai KKM dijadikan ‘kambing hitam’?

0
2
fb ust khairuddin

Nurul Huda Abhar

KEPUTUSAN kerajaan untuk tidak mengenakan sebarang tindakan lanjut kepada Menteri Perladangan Perusahaan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berhubung kesalahan ingkar arahan kuarantin sememangnya harus dipersoalkan.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi berkata, timbul persoalan mengapa terlalu lama kes tersebut disiasat dan adakah pihak berkuasa sengaja melambatkan siasatan untuk mencari alasan.

“Seterusnya, kerajaan dilihat tidak tegas. Pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang kononnya tidak memberi borang 14b kepada Khairuddin dijadikan “kambing hitam”.

“Sedangkan rakyat biasa yang balik dari Sabah sebelum tarikh 27 September mengambil tanggungjawab dan inisiatif sendiri melakukan kuarantin di rumah selama 14 hari.

“Ada yang mengeluarkan belanja sendiri untuk melakukan “swab test”. Bukan itu sahaja ada yang melakukannya sampai dua kali,” katanya di Facebook, hari ini.

Mohd Puad berkata, sebagai menteri Khairuddin patut lebih mengetahui tanggungjawab beliau untuk melakukan “kuarantin kendiri”.

“Takkan itu tidak boleh fikir? Kini Kerajaan dituduh melakukan “ketegasan selektif”. Kerajaan tambah kemarahan rakyat,” ujarnya.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed memaklumkan tiada tindakan lanjut diambil terhadap Khairuddin.

Beliau berkata, ia susulan Pejabat Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berhubung tindakan melanggar kuarantin wajib Covid-19. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook Dr Khairuddin