Muhammad Mustakim Ramli
LAPAN individu termasuk pemilik sebuah syarikat direman tujuh hari bermula hari ini, selepas dipercayai terbabit dalam kes pencemaran air Sungai Gong, Rawang pada Isnin lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat, berkata permohonan reman ke atas lapan suspek itu dibenarkan selama tujuh hari oleh Majistret Mahkamah Selayang.
“Suspek direman sehingga 28 Oktober dan semua mereka diwakili dua orang peguam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu semua suspek tiba di Mahkamah Selayang sekitar jam 9 pagi untuk mendapatkan perintah reman.
Semalam, media melaporkan Fadzil berkata, polis menahan dua lelaki berumur 62 tahun serta anaknya berumur 31 tahun iaitu pengarah syarikat di Rawang.
“Polis turut menahan enam pekerja, iaitu dua warga tempatan dan empat lelaki warga asing dari Nepal, Pakistan dan Myanmar.
“Tangkapan itu susulan insiden pencemaran sungai yang dikesan oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) jam 12.38 pagi pada 19 Oktober lalu,” katanya.

Ia susulan, Air Selangor mengesan bau abnormal pada sumber air mentah di Sungai Selangor. Ekoran itu Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas apabila kadar bau dikesan pada paras tiga ton.
“Pada jam 2 pagi, beberapa LRA yang lain turut terpaksa dihenti tugas apabila kadar bau dikesan pada paras tiga ton.
“Hasil siasatan awal mendapati bau yang dikesan berakhir di alur air Sungai Gong, Rawang yang disyaki bermula dari sebuah syarikat membaiki dan menjual jentera pembinaan,” katanya. -Malaysiapost

