Sejarah Tingkatan 4 agungkan golongan radikal, haluan kiri

0
2

Nilam Oshman

TOPIK berkaitan Perang Dunia Pertama tidak perlu dibincang terlalu mendalam di dalam buku teks Sejarah Tingkatan 4, kata pakar Sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam.

Prof. Datuk Dr Ramlah Adam

Beliau berkata, Bab 3 dalam buku teks tersebut iaitu Konflik Dunia dan Pendudukan Jepun di Negara Kita, meliputi Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua di mana skop perbincangan sangat luas serta peta yang kompleks.

Katanya, Perang Dunia Pertama tidak perlu terlalu mendalam kerana tidak memberi kesan kepada Tanah Melayu kecuali Perang Dunia kedua, yang melibatkan negara ini secara langsung kerana penjajahan Jepun ke atas Tanah Melayu pada 1942 hingga 1945.

“Selain itu, isi kandungan antara bab 2 dan 3 ‘overlapping’ (bertindih) dan redundant (berlebihan). Misalnya, dalam bab 3 ada juga berkaitan nasionalisme iaitu faktor kebangkitan, perkembangan, peranan nasionalisme dan perjuangan persatuan.

“Jadi, hal ini membuatkan guru dan pelajar bertambah pening dan topik ini juga sangat berat untuk difahami,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bab 3 juga penerangannya terlalu mengagungkan sumbangan golongan radikal atau haluan kiri dengan menamakan mereka sebagai nasionalisme.

“Contohnya, Ibrahim Yaakub merupakan presiden dan pengasas Kesatuan Melayu Muda (KMM) adalah golongan radikal yang dikatakan tokoh politik Melayu pertama menentang kerajaan penjajah British.

“Namun dia bukan salah seorang pejuang kemerdekaan yang patut kita sanjung kerana kesilapannya adalah bekerjasama dengan Jepun serta percaya negara matahari terbit itu akan memberi kemerdekaan kepada Malaya,” katanya.

Selain itu, tambahnya, Dr Burhanuddin Al-Helmy antara ahli golongan haluan kiri yang turut tertipu kerana menyangka Jepun akan membantu Tanah Melayu mencapai kemerdekaan bersama-sama Indonesia.

“Dr Burhanuddin mula menyedari hakikat tersebut apabila Jepun mengharamkan KKM atau sebarang parti politik dan menutup ruang rakyat bergerak melalui semangat nasionalisme selepas berjaya menguasai Tanah Melayu.

“Menjelang Perang Dunia Kedua, Jepun tidak memberi kemerdekaan kepada golongan radikal ini, sebaliknya Ibrahim Yaakub dan kawan-kawannya dicadangkan kemerdekaan bersama Indonesia Raya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pada 12 dan 13 Ogos 1945, pertemuan diadakan di Taiping yang turut dihadiri Dr Burhanuddin sendiri bersama Ibrahim, Sukarno dan Mohamad Hatta untuk membincangkan soal-soal kemerdekaan ‘Indonesia Raya’.

“Dalam tahun sama, Ibrahim serta Dr Burhanuddin menubuhkan Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS) selepas KKM diharamkan.

“Bagaimanapun, hasrat merdeka bersama Indonesia tidak kesampaian dan menemui kegagalan apabila Jepun menyerah diri kepada kuasa Berikat iaitu British dan Amerika Syarikat pada 15 Ogos 1945 setelah pengeboman atom di Hiroshima dan Nagasaki, Jepun.

“Sejurus selepas itu, para nasionalis Indonesia mengisytihar kemerdekaan tanah air mereka secara tergesa-gesa pada 17 Ogos 1945 tanpa memberitahu pemimpin radikal Melayu yang lain,” ujarnya.

Tambah Dr Ramlah, sehari sebelum itu, KRIS dibubarkan semasa kongresnya di Kuala Lumpur, seiring kekalahan Jepun.

Katanya, Ibrahim Yaakob bertindak bijak berhijrah ke Indonesia demi keselamatan diri dan keluarganya supaya tidak menerima sebarang tekanan atau hukuman daripada British yang kembali ke Tanah Melayu.

“Jadi, apakah sumbangan mereka ini, bukankah tindakan mereka menggugat kedaulatan Tanah Melayu sekiranya kita bergabung dalam Indonesia Raya? Adakah ia satu kemerdekaan atau penjajahan?,” katanya.

Dalam laporan siri pertama semalam, Dr Ramlah berkata penulisan dan kandungan pada buku teks Sejarah Tingkatan 4 didakwa tiada penceritaan sebenar serta fakta yang menghilangkan semangat patriotisme.

Antaranya beliau mendapati Bab 2 iaitu Kebangkitan Nasionalisme mempunyai skop penulisan, penghuraian dan fakta terlalu luas.

Katanya, dalam bab 2,buku teks itu dimasukkan konsep nasionalisme Barat, Asia, Asia Tenggara sebelum Malaysia dan penulis tersebut mengkaji lebih kepada sejarah dunia; Amerika, Eropah, Vietnam, China, India, Indonesia namun Malaysia diletakkan di hujung bab. – Malaysiapost

Siri 1: Buku Teks Sejarah Tingkatan 4 bercelaru, beban pelajar dan guru

Siri 2: Sejarah Tingkatan 4 agungkan golongan radikal, haluan kiri

Siri 3: Sejarah penubuhan, peranan Umno dalam buku teks diolah, ditiadakan?

Siri 4: Sejarah Tingkatan 4 agungkan komunis