Covid-19: Kluster Tabligh berpunca dari Indonesia

0
2

KAJIAN Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati sampel pesakit Covid-19 membabitkan Kluster Tabligh berpunca dari Indonesia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata KKM sebelum ini mengesyaki virus itu datangnya dari negara terbabit malah terdapat 692 jemaah Indonesia turut serta dalam perhimpunan itu.

“Kalau kita lihat perhimpunan Sri Petaling, ada 692 jemaah yang datang dari Indonesia. Ketika itu andaian kita ialah jangkitan itu mungkin datang dari Indonesia.

“Apabila kita membuat penjujukan genom, kita dapati sekarang ini, jangkitan itu datang daripada ‘strain’ Indonesia,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kajian juga dilaksanakan di Depoh Tahanan Imigresen dan penjujukan genom terhadap sampel daripada pesakit di pusat itu juga menunjukkan ada antara warga Indonesia yang ditahan mendapat jangkitan sama dengan ‘strain’ dari Indonesia.

“Justeru, permulaan gelombang kedua berasal dari Indonesia,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, walaupun penjujukan genom di negara ini hanya dilakukan terhadap sampel yang diambil dalam sesebuah kluster serta jenis tertentu, ia sememangnya membantu kesiapsiagaan KKM dalam menangani penularan wabak itu.

Beliau berkata, penjujukan yang dibuat terhadap kluster jemaah tabligh, Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga, Bukit Tiram dan Lahad Datu masih mampu memberi gambaran dari mana seseorang itu mendapat jangkitan COVID-19.

“Malaysia telah menjalankan penjujukan genom, tetapi bukan kepada semua kes yang disahkan positif. Apa yang penting, kita melihat kepada kluster yang akan membantu perancangan strategik KKM, membuat kesiapsiagaan dan sebagainya.

“Penjujukan genom tidak membantu kita membendung penularan COVID-19, tetapi apa yang kita dapat tahu daripada lokasi jangkitan dan kesiapsiagaan, iaitu perancangan kita bagaimana kita kena kawal jika mutasi ini boleh menyebabkan kadar jangkitan yang tinggi,” katanya. – Malaysiapost