Covid-19: Sabah siap sedia rawat pesakit di rumah

0
2

SABAH kini dalam persediaan untuk membolehkan pesakit Covid-19 dirawat di rumah masing-masing, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Masidi Manjun.

Masidi berkata individu yang dijangkiti wabak itu biasanya dinasihat agar kekal berada di rumah jika simptomnya masih terkawal.

Beliau yang dilantik sebagai jurucakap isu Covid-19 Sabah, berkata ia adalah satu daripada strategi yang diputuskan kerajaan negeri untuk menangani jumlah pesakit Covid-19 yang ramai.

“Dengan itu ia akan membolehkan mereka tidak perlu ke pusat kuarantin atau pusat rawatan, misalnya, dan ia berkesan jika mereka tinggal bersendirian, atau berdua dan berada di tempat sama dan boleh mengkuarantin diri sendiri,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

Masidi berkata, Jabatan Kesihatan Sabah juga akan menyelaras proses rawatan di rumah jika kes itu dianggap masih di peringkat awal.

Terdahulu, Adun Karanaan itu ditanya berhubung dakwaan sesetengah pesakit tidak terus dibawa ke hospital atau pusat kuarantin berisiko rendah sebaliknya diminta kekal berada di rumah masing-masing.

Petugas KKM pula akan membuat pemantauan kesihatan mereka dari semasa ke semasa sehingga pesakit dikatakan terpaksa menunggu sehingga seminggu sebelum dibawa ke pusat kesihatan. – Malaysiapost