JURGEN Klopp melontarkan sokongan terhadap Virgil van Dijk susulan kecederaan lutut yang teruk dialami pemain tonggak pertahanan itu.
Pengurus Liverpool itu menegaskan ‘kami akan menunggunya seperti seorang isteri yang baik menunggu suaminya dalam penjara’, lapor Dailymail.
Ketiadaan van Dijk memberi tamparan besar kepada usaha Klopp membawa Liverpool mempertahankan kejuaraan Liga Perdana, apa lagi pemain Belanda itu adalah tonggak penting pertahanan pasukan.
Van Dijk, 29, terpaksa melupakan sebahagian besar saingan musim 2020/2021 selepas terjahan keras penjaga gol Everton, Jordan Pickford dalam aksi yang berkesudahan seri 2-2, Sabtu lalu.
“Beberapa perkara jelas,” kata Klopp di laman web rasmi kelab. “Jadi dia sekarang akan keluar sebentar, itu jelas. Kami tidak mahu menetapkan jangka masa (bila van Dijk akan kembali), kerana setiap pemain berbeza dan setiap individu berbeza.
“Virgil adalah Virgil dan kami tidak mahu untuk menetapkan jangka masa. Tetapi dia akan keluar untuk waktu yang cukup lama dan begitulah keadaannya,” kata Klopp. – Malaysiapost

