Hanya 13 peratus dapat bekalan air

0
1

PENGURUSAN Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan sebanyak 162 kawasan yang terjejas sudah menerima bekalan air sehingga jam 9 pagi tadi.

Bagaimanapun jumlah itu hanya merangkumi 13 peratus daripada jumlah keseluruhan kawasan yang terjejas.

Menerusi kenyataan, Air Selangor berkata, sebanyak 1,130 kawasan di wilayah yang terjejas masih lagi dalam proses pemulihan.

“Pengguna dinasihatkan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan berjalan lancar bagi kawasan-kawasan yang masih belum menerima bekalan air dan mengikut jadual pelan pemulihan bekalan air.

“Dalam pada itu, Air Selangor terus menggerakkan 121 lori tangki air ke premis-premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis serta kawasan perumahan terjejas.

“Pengguna juga boleh mendapatkan bantuan bekalan air melalui pili-pili awam dan Pusat Khidmat Setempat (PKS) yang disediakan untuk kemudahan pengguna semasa tempoh pemulihan bekalan air,” katanya.

Air Selangor juga meminta orang ramai merujuk senarai pili-pili awam dan PKS di laman sesawang www.airselangor.com.

“Pengguna dinasihatkan mematuhi garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semasa mengambil bekalan air dari lori tangki, PKS dan pili-pili awam.

“Air Selangor akan memaklumkan status pemulihan bekalan air dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi rasmi kami iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook dan Intagram Air Selangor dan laman sesawang www.airselangor.com.

Semalam, dilaporkan lebih 1.1 juta akaun pengguna di tujuh wilayah mengalami gangguan bekalan air berikutan penutupan empat Loji Rawatan Air (LRA) akibat pencemaran di Sungai Selangor.

Gangguan air tidak berjadual itu membabitkan 1,196,457 akaun merangkumi 1,292 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang dan Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor serta Kuala Langat. – Malaysiapost