Covid-19: Abim tolak pilihan raya mengejut

0
1

ANGKATAN Belia Islam Malaysia (Abim) menegaskan pilihan raya mengejut jika diadakan dalam masa terdekat adalah tindakan tidak bertanggungjawab.

Presidennya, Mohamad Faisal Abdul Aziz berkata peningkatan mendadak jumlah kes Covid-19 serta kluster baharu ekoran Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini, cukup menggambarkan kesan buruk yang menimpa rakyat jika ia diadakan.

“Ia yang menyebabkan berlakunya sentimen kebencian rakyat terhadap pemimpin politik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kelmarin sahaja, berlaku peningkatan hampir 50 peratus kes Covid-19 baharu dan menjangkiti melebihi 20,000 orang.

“Maka, situasi yang lebih buruk akan berlaku jika Pilihan Raya Umum diadakan di seluruh negara,” katanya.

Dalam masa sama, Abim memuji sikap berlapang dada pemimpin politik yang enggan meletakkan calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi sebagai jalan untuk calon parti penyandang memenangi kerusi tersebut tanpa bertanding.

“Ia satu sikap baik dan bertanggungjawab sebagai menyedari kesan besar yang akan berlaku kepada rakyat jika pilihan raya diadakan.

“Namun, rasa kebertanggungjawapan ini harus diteruskan secara konsisten dengan memastikan tidak ada sebarang pilihan raya mengejut diadakan agar keselamatan dan kebajikan rakyat akan sentiasa dipertahankan.

“Sepatutnya pihak yang ingin pilihan raya mengejut ini mengotakan janji mengutamakan rakyat serta tidak menjadikan rakyat sebagai mangsa akibat dari kegagalan mereka menguruskan urusan politik dengan baik,” ujarnya. – Malaysiapost