Tak larat tiga hari mandi guna air mineral, warganet ‘serang’ FB Air Selangor

0
2

Nurul Huda Abhar

GANGGUAN bekalan air begitu sinonim dengan penduduk Selangor sejak kebelakangan ini.

Kebanyakkan penduduk begitu bimbang dengan permasalahan gangguan bekalan air yang disifatkan semakin meruncing di negeri itu.

Susulan itu, Air Selangor mendapat kecaman hebat warganet yang tidak berpuas hati dengan gangguan bekalan air berikutan pencemaran di Sungai Selangor, hari ini.

Ia sekali gus menyebabkan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang henti tugas berikutan pencemaran sumber air mentah yang dikesan.

Ini kerana, hanya selang sehari selepas proses pembaikan LRA Sungai Selangor Fasa 1 berikutan insiden paip air terawat bocor pulih sepenuhnya, kini masalah pencemaran air pula timbul.

Menerusi semakan Malaysiapost di laman Facebook rasmi Air Selangor, warganet mempertikaikan cara syarikat itu mengendalikan gangguan bekalan air tanpa memberi sebarang notis.

“Air Selangor kena beretika sikit la, henti tugas kena beritahu lebih awal supaya kita boleh kumpul air sebelum henti tugas,” tulis Kevin Raj.

“Dah tutup air baru beritahu dalam apps (aplikasi) dengan page (Facebook).. tak sempat tadah air la..nanti bil naik melambung lagi..beratus wei..siap tukar meter pun sama tinggi bil,” kata Amien Iqa.

“Tolong pastikan kali ni hantar air ke kawasan Taman Cemerlang. Tak larat bang hari itu je tiga hari mandi pakai air mineral. Donald Trumph kalau tengok pun terkesima,” kata Iqbal.

Ternyata warganet sudah tidak boleh berkompromi dengan masalah bekalan air bersih yang sering berlaku sehinggakan ada yang mengeluarkan kata-kata kesat kepada balasan komen Air Selangor di Facebook mereka.

Sementara itu, pengguna juga mencadangkan organisasi tersebut merombak pengurusan syarikat atas kelemahan menguruskan isu berkenaan.

Di samping itu, warganet turut melahirkan rasa takut jika penularan wabak Covid-19 semakin meningkat di Selangor kerana ia termasuk dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Terdahulu, Air Selangor dalam kenyataan memaklumkan gangguan bekalan air tidak berjadual berlaku melibatkan lebih 1 juta akaun merangkumi 1,292 kawasan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Sebelum itu, pada 3 September lalu gangguan bekalan air membabitkan hampir 1.2 juta akaun di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang turut berlaku dan mengambil masa enam hari untuk pulih sepenuhnya.
-Malaysiapost