Pemuda Ikatan gesa PKPB diperketatkan

0
2

Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menggesa kerajaan memperhalusi saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar memperketatkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketuanya, Shahir Adnan berkata sekatan pergerakan lebih ketat seperti ketika gelombang pertama dan kedua penularan Covid-19 di negara ini, berjaya melandaikan lengkungan kes harian Covid-19.

Katanya, PKPB juga tidak merencatkan kegiatan ekonomi kerana sesiapa sahaja dibenarkan berniaga, namun aktiviti sosial perlu dihentikan kerana kebolehjangkitan yang tinggi.

“Mengapakah pusat-pusat hiburan masih dibuka sewenang-wenangnya?,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mencadangkan prosedur operasi standard (SOP) diperketat di kawasan yang dikenakan PKPB.

Katanya, langkah itu bertujuan mengekang penularan Covid-19 dalam komuniti.

Sementara itu, Shahir mendesak kerajaan memberikan fokus kepada penyelesaian isu rakyat berkaitan Covid-19, antaranya memperkasa tenaga kerja barisan hadapan, terutama di Sabah.

“Mereka sudah keletihan, dan sukarelawan dari sektor swasta turut diperlukan. Peruntukan elaun harus diberi tanpa kerenah birokrasi kepada semua pekerja barisan hadapan dan sukarelawan,” katanya.

Shahir turut meminta kerajaan melanjutkan tempoh moratorium sehingga Mac 2021 kerana gelombang ketiga ini menyebabkan beberapa sektor industri makin tenat, selain memberi pampasan secara “one-off” kepada pelajar di pendidikan tinggi yang berulang alik untuk pendaftaran pengajian mereka.

Beliau juga berharap bantuan bersasar disalurkan kepada rakyat B40 di negeri yang dikenakan PKPB, seperti Sabah dan Selangor. – Malaysiapost