Pencemaran air dijangka pulih petang ini – MB Selangor

0
2

PENCEMARAN Sungai Selangor yang mengakibatkan lebih 1.1 juta akaun pengguna di Lembah Klang terjejas bekalan air, dijangka pulih petang ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata beliau telah meninjau kerja-kerja pemulihan bekalan air akibat pencemaran di muka sauk Sungai Selangor Fasa 2.

“Kadar pencemaran kini ialah 1 TON. Bekalan air akan mula disalur apabila bacaan cecah 0 TON. Usaha pemulihan pencemaran sedang giat dilaksanakan.

“Mengikut trend perkembangan bacaan semasa, pencemaran dijangka akan pulih pada petang ini. Bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat selepas itu,” katanya menerusi ciapan di Twitter.

Amirudin berkata, laporan polis telah dibuat berhubung kes pencemaran tersebut dan siasatan sedang dilaksanakan.

Sejak awal hari ini, lebih 1.1 juta akaun pengguna di tujuh wilayah mengalami gangguan bekalan air berikutan penutupan empat LRA akibat pencemaran di Sungai Selangor.

Gangguan air tidak berjadual itu melibatkan 1,196,457 akaun merangkumi 1,292 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang dan Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor serta Kuala Langat.

Ketua komunikasi korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSF1), Sungai Selangor 2 (SSF2), Sungai Selangor 3 (SSF3) dan Rantau Panjang dihenti tugas selepas pencemaran dikesan jam 2 pagi tadi. – Malaysiapost