Ibu terkejut 4 anak tiada gejala, disahkan positif Covid-19

0
2

LULUH Hati seorang ibu apabila mendapat berita bahawa empat anaknya disahkan positif Covid-19.

Nurul Almika Alishamion menerusi perkongsian di Facebooknya berkata, dia berasa amat terkejut kerana kesemua anaknya itu tidak menunjukkan gejala penyakit tersebut.

Justeru, dia yang berasal dari Pitas, Sabah memohon orang ramai mendoakan kesembuhan mereka.

“Assalamualaikum…Salam sejaterah buat semua sahabat tersayang. Mungkin ada yang sudah maklum, saya mohon doakan anak-anak saya, Nur Fiffy, Nur Fateha, Ahmad Adam dan Nur Faizara semoga diberi kesihatan dan kuat semangat melawan Covid-19.

“Gelap seketika dunia bila suami bagitahu anak-anak disahkan positif Covid-19. Betul-betul tak sangka anak-anak positif sebab memang tiada gejala yang ketara.

“Cuba untuk ndak (tidak) menangis. Namun air mata keluar dengan sendiri..puas sudah nangis macam mau (mahu) demam sudah rasa,” katanya.

Ejen produk kecantikan itu memaklumkan anak-anaknya kini ditempatkan di Pusat Kuarantin.

“Dan Alhamdulillah setakat ini kesihatan anak-anak semua baik-baik saja..doakan anak-anak saya kuat dan lepas dari virus Covid-19.

“Terima kasih kawan-kawan yang ndak henti-henti WhatsApp dari kelmarin menitipkan doa buat kami sekeluarga. Semoga doa-doa kalian diangkat oleh Nya. Amin,” katanya.

Semalam, kes positif Covid-19 di Malaysia direkodkan sebanyak 871 kes dan Sabah terus mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 702 kes positif daripada jumlah berkenaan. -Malaysiapost