MASALAH depresi bukan isu baharu yang melanda dunia hiburan di Korea Selatan.
Saban tahun ada sahaja, kes depresi yang meragut nyawa atau mencederakan selebriti di negara berkenaan.
Namun, yang terbaharu membabitkan
Jeong-yeon daripada kumpulan K-pop popular TWICE.
Gadis itu dilaporkan akan berehat daripada aktiviti promosi album baharu kumpulan tersebut kerana mengalami masalah kebimbangan secara psikologi.
Selepas berbincang dengan ahli TWICE yang lain, agensi mereka iaitu JYP Entertainment memutuskan untuk memberikan idol itu waktu berehat.
Tempoh itu juga akan digunakan untuk Jeong-yeon mendapatkan bantuan perubatan secara profesional.
JYP dalam kenyataan memaklumkan agensi itu meletakkan kesihatan artis sebagai yang perkara utama.
“Atas kapasiti itu syarikat memilih untuk mengecualikan Jeong-yeon daripada aktiviti promosi “Can’t Stop Me” yang bakal berlangsung tak lama lagi,” kata kenyataan itu.
Dalam pada itu JYP turut meminta agar peminat terus menyokong proses penyembuhan ahli TWICE itu.
Sebelum ini, Mina yang juga ahli kumpulan berkenaan juga direhatkan selama enam bulan kerana mengalami masalah sama sebelum membuat kemunculan kembali baru-baru ini. -Malaysiapost

