PARTI Amanah Negara (Amanah) menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan berhubung kes pukul membabitkan pemimpin dan ahli parti berkenaan.
Setiausaha Agungnya, Dr Mohd Hatta Ramli, berkata parti berkenaan yakin siasatan yang adil akan dijalankan oleh pihak berkuasa.
“Laporan media berkaitan beberapa laporan polis mengenai kes jenayah yang melibatkan ahli-ahli parti Amanah adalah dirujuk.
“Berdasarkan perkara di atas, parti menyerahkan kes sedemikian kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan yakin siasatan yang adil akan dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu dipercayai merujuk kes seorang ketua wanita parti itu di peringkat bahagian dan adiknya yang mendakwa dikasari dan ditumbuk bekas pegawai kepada seorang lagi pemimpin parti sama dalam kejadian di Teluk Intan, Perak pada 14 Oktober lalu.
Mohd Hatta turut menasihatkan ahli Amanah agar bertindak mengikut lunas undang-undang dan perlembagaan parti dalam semua urusan kepartian.
Menurut laporan Berita Harian, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman, memaklumkan bahawa polis sudah memanggil lapan individu berhubung kejadian seorang pemimpin parti politik dan adiknya dikasari pada Rabu lalu.
Beliau berkata, laporan polis dibuat pada hari sama kejadian yang dipercayai berlaku jam 9.30 malam.
Katanya, seorang wanita berusia 32 tahun bersama adik perempuannya berusia 31 tahun mendakwa mereka dikasari seorang lelaki berusia 42 tahun ketika menghadiri perjumpaan bersama ahli jawatankuasa parti berkenaan di sebuah hotel di Teluk Intan.
Mereka mendakwa menerima jemputan menghadiri mesyuarat itu, tetapi dihalang masuk ketika tiba di lokasi kejadian.
Anuar berkata, wanita itu mendakwa dia ditolak hingga terjatuh, manakala adiknya cedera ringan akibat ditumbuk pada muka.
“Susulan itu, polis menyiasat kes mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan sudah memanggil lapan individu termasuk lelaki terbabit untuk mengambil keterangan,” katanya. -Malaysiapost

