LARI bersembunyi dalam rumah, hutan dan belakang pulau. Itu yang berlaku ketika saringan komuniti dijalankan di Pulau Omadal, Semporna dalam usaha mencegah penularan wabak Covid-19.
Situasi itu dilalui pegawai perubatan yang dihantar khusus ke pulau berkenaan semalam dan walaupun cuba dipanggil, tiada yang keluar kerana dikatakan takut.
Menerusi catatan di Facebook milik Jefry Musa, guru sekolah alternatif dan aktivis, disebabkan keadaan sudah di luar kawalan, dia turun sendiri bercakap dengan komuniti Bajau Laut di pulau terbabit.
Pengerusi yang juga Guru Iskul Sama Dilaut Omadal itu berkata antara perkara ditakuti penduduk adalah ditangkap polis, hidung berdarah, dicucuk jarum (inject), sakit ketika diperiksa dan dibawa ke hospital.
“Saya menjawab semua ketakutan mereka. Saya berjaya membawa hampir 50 orang pergi memeriksa.
“Setiap orang memerlukan 15 minit untuk mendapat keputusan, saya dimaklumkan keputusan daripada kaedah ujian ini adalah 100 peratus tepat.
“Saya cuba beritahu pegawai perubatan tentang ketakutan mereka untuk dibawa ke hospital, takut berpisah dengan keluarga, takut keluar pulau, takut sakit dirawat doktor, takut ditangkap polis,” katanya.
Jefry seterusnya berkata, jika situasi itu mahu diselesaikan dengan kekerasan dan memanggil polis, dia percaya mereka akan lari lagi seperti semalam.
Katanya, perkara sama berlaku di Pulau Dernawan dan Bangau-Bangau yang akan mengakibatkan Covid-19 merebak ke tempat-tempat lain.
“Saya cadangkan perlu dibuat pusat kuarantin di pulau-pulau yang ada kes, saya percaya ini dapat menyelesaikan dilema komuniti di sini. Namun siapalah saya ini, cikgu kampung saja.
“Pada waktu petang saya dimaklumkan tentang jumlah keseluruhan keputusan ujian di sini, saya terus terduduk dan menelefon ibu saya. Hanya suara ibu saya saja yang saya mahu dengar sekarang,” katanya.
Semporna antara daerah yang mencatatkan kes harian positif Covid-19 tertinggi di Sabah dengan 141 kes dicatatkan semalam. – Malaysiapost

