MUAFAKAT Nasional (MN) dijangka mengadakan mesyuarat malam ini bagi membincangkan penyertaan parti Bersatu secara rasmi dalam gabungan terbabit.
Setiausaha Agung Bersama Sekretariat MN, Tan Sri Annuar Musa, berkata mesyuarat akan disertai Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Bagaimanapun, katanya, tiada wakil Bersatu hadir kerana pihaknya sudah pun menerima jawapan rasmi serta kesediaan parti itu untuk menyertai MN melalui Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.
“Mesyuarat selalunya dijalankan setiap dua minggu, namun beberapa kali terbatal atas beberapa sebab termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
“Usul berkaitan kemasukan Bersatu secara rasmi dalam MN sememangnya sudah ada dalam minit mesyuarat sebelum ini dan ia akan dibincangkan malam ini,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Ogos lalu, Muhyiddin mengumumkan parti pimpinannya bersetuju untuk menyertai MN iaitu kerjasama antara Umno dan PAS.
Annuar berkata, perbincangan mengenai penyertaan Bersatu itu memerlukan draf memorandum persefahaman (MoU) dan piagam yang baharu, serta tidak boleh menggunakan kaedah sama dengan kerjasama antara Umno dan PAS sebelum ini.
“Kerjasama Umno dan PAS sebelum ini sudah lama, justeru perlu ada draf MoU baharu, selain piagam dan sebagainya.
“Sekiranya Bersatu masuk, kita akan bincang kerjasama. Yang penting kerjasama demi mengutamakan penyatuan dan perpaduan politik Melayu,” katanya. – Malaysiapost

