Muhammad Mustakim Ramli
MALAYSIA mencatatkan 20,498 kes positif Covid-19 sejak pandemik itu melanda negara, dengan kes tertinggi direkodkan hari ini iaitu 871.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada 871 kes berkenaan, 866 darinya adalah penularan tempatan dan lima lagi kes import.
“Sebahagian besar kes hari ini adalah dari Sabah iaitu 702 kes dengan 49 kes dari Kluster Kepayan (kluster baharu), 81 dari kluster sedia ada dan 572 kes dari lain-lain saringan Covid-19.
“Selangor pula mencatatkan 77 kes; Pulau Pinang (45); Perak (10); Labuan dan Kedah (9); Kuala Lumpur (7); Sarawak (5); Negeri Sembilan (3); Terengganu (2) dan masing-masing satu kes di Johor dan Melaka,” katanya hari ini.
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, hari ini juga mencatatkan bilangan kes sembuh tertinggi iaitu 701 dengan jumlah kes sembuh keseluruhan kini 13, 262.
“Jumlah kes aktif ketika ini adalah 7,049, di mana 89 kes sedang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 28 kes menerima bantuan alat penafasan.
“Dukacita juga dimaklumkan terdapat tujuh kes kematian dilaporkan hari ini dengan jumlah keseluruhan kes kematian akibat pandemik ini adalah 187,” katanya. – Malaysiapost

