Gelombang ketiga Covid-19 lebih mencabar – Noor Hisham

0
1
PUTRAJAYA, 2 April -- Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. Sebanyak 208 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan setakat tengah hari tadi, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes yang positif di negara ini sebanyak 3,116 kes dan terdapat 5 kes kematian akibat jangkitan itu direkodkan hari ini dengan jumlah kumulatif kematian sebanyak 50 kes. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan gelombang ketiga Covid-19 di Malaysia lebih mencabar.

Namun, katanya, nilai kebolehjangkitan (Ro) Covid-19 berjaya diturunkan kepada 1.5 berbanding 2.2 yang direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini.

Katanya, nilai Ro pada permulaan gelombang ketiga 20 September lalu adalah 2.2, tetapi dalam tempoh empat minggu ia telah menurun kepada 1.5.

“Ini bermakna setakat ini usaha dijalankan dapat mengelak peningkatan kes secara mendadak.

“Meskipun begitu, jika dilihat pada carta palang ini (iaitu jumlah kes positif Covid-19 yang dilaporkan setiap hari), didapati ia masih mengikuti garisan unjuran nilai R = 1.5.

“Oleh itu, boleh dijangkakan kes harian Covid-19 masih akan meningkat tetapi bukanlah secara mendadak,” katanya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, segala usaha di lapangan mesti diteruskan dan dilipat gandakan termasuk kawalan pergerakan harus diperketatkan.

“Rakyat perlu membantu negara dengan duduk di rumah. Rantaian jangkitan mestilah diputuskan. Seperti yang disebut tadi, jika rantaian jangkitan dapat diputuskan ia akan mengawal penularan dan nilai R juga akan turun lebih rendah daripada 1.0 sehingga kurang daripada 0.3,” katanya.

Untuk rekod, nilai Ro merujuk kepada kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak dalam masyarakat, iaitu secara puratanya berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh kes positif atau hos virus berkenaan. – Malaysiapost