KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah tidak menolak kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah antara penyumbang kepada gelombang ketiga penularan Covid-19.
Beliau berkata, penganjuran PRN itu dilihat menyumbang kepada penularan kes apabila ada pihak yang tidak patuh prosedur operasi standard (SOP).
“Jika melihat kepada pilihan raya diadakan di New Zealand, tiada peningkatan ketara kes (gelombang) dilaporkan berlaku.
“Justeru, kita tidak menolak kemungkinan PRN (Sabah) menyumbang kepada peningkatan kes ketika ini kerana ketidakpatuhan terhadap SOP,” katanya hari ini.
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, angka jangkitan baharu Covid-19 berisiko mencecah hingga 1,300 kes sehari menjelang hujung bulan ini, sekiranya semua pihak gagal meningkatkan tahap pematuhan SOP ditetapkan.
Beliau berkata, ia berdasarkan nilai Ro atau kebolehjangkitan semasa yang berada pada kadar 1.5, susulan peningkatan kes baharu wabak terbabit ketika ini.
“Berdasarkan graf nilai Ro ketika ini yang masih berada pada unjuran 1.5, kes baharu boleh mencecah antara 1,200 hingga 1,300 sehari menjelang 31 Oktober depan.
“Ini perkara yang kita bimbangkan. Namun, tidak mustahil untuk kita menurunkan nilai Ro itu jika ada kerjasama padu daripada semua pihak bersama Kementerian Kesihatan.
“Ketika gelombang kedua, nilai Ro mencecah 3.5 tetapi kita berjaya melandaikan lengkuk sehingga ia turun kepada 0.3.
“Oleh itu, tidak mustahil untuk kita menurunkannya sekali lagi,” katanya – Malaysiapost

