Wanita pakai gelang ‘pink’ ditahan beli barang di kedai runcit

0
2

WANITA yang memakai gelang merah jambu ditahan polis selepas didapati ingkar perintah kuarantin Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan, semalam.

Wanita berusia 32 tahun itu ditahan pada jam 2.30 petang selepas didapati berada di sebuah kedai runcit untuk membeli barangan di kawasan bandar itu.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad menerusi kenyataan berkata, penahanan itu dibuat hasil maklumat orang awam selepas menyedari gelang yang dipakai wanita terbabit.

Beliau berkata, wanita berkenaan dikenal pasti masuk ke Labuan melalui Terminal Feri Antarabangsa Labuan pada 27 September lalu sebelum mendapat perintah kuarantin sehingga 10 Oktober.

Tambahnya, wanita itu kemudian diarah menjalani sambungan kuarantin di rumah bermula semalam sehingga 29 Oktober sementara menunggu keputusan ujian saringan Covid-19 kali kedua.

“Namun suspek ingkar dan mengabaikan perintah kuarantin berkenaan dengan singgah ke kedai runcit bersama suaminya dipercayai ketika dalam perjalanan pulang dari hospital.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan penyakit berbahaya,” katanya hari ini.

Menurut Muhamad Farid, kes turut disiasat mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana tidak mematuhi perintah sah yang dikeluarkan pegawai berkuasa.

Katanya lagi, bagi kesalahan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, jika disabit bersalah boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh sehingga enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 pula, boleh dihukum penjara tempoh tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan pertama.

“Bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya hukuman penjara tempoh tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

“Dan bagi kesalahan berterusan, pesalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM200 bagi tiap-tiap hari kesalahan itu berterusan,” ujarnya. – Malaysiapost

Gambar sekadar hiasan.