SEORANG penjual aiskrim warga asing ditahan selepas disyaki mencabul remaja perempuan berusia 14 tahun di Taman Seri Indah, Seberang Perai, kelmarin.
Dalam kejadian jam 4.45 petang itu, mangsa bersama adik perempuannya berusia enam tahun menahan lelaki berumur 25 tahun tersebut di hadapan rumah mereka untuk membeli aiskrim.
Ketika mangsa memilih aiskrim, suspek didakwa secara tiba-tiba memegang bahu mangsa menyebabkan dia terkejut lalu berundur, kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor,
“Suspek kemudian memberi aiskrim yang diminta adik mangsa dan ketika mahu membayar, suspek dikatakan memegang tangan mangsa lalu cuba menciumnya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Noorzainy berkata, mangsa kemudian lari masuk ke rumahnya dan menutup pagar kerana ketakutan, manakala suspek menunjukkan wang sambil memanggil mangsa berulang-kali supaya keluar namun beredar selepas itu.
Katanya, mangsa seterusnya menceritakan kejadian tersebut kepada keluarganya sebelum suspek ditahan ketika menjual aiskrim di kawasan sama pada jam 4.30 petang lalu dipukul oleh orang awam.
“Kejadian dimaklumkan kepada polis dan sebaik tiba di lokasi, polis mendapati suspek cedera akibat dipukul di mulut.
“Suspek dibawa ke Hospital Kepala Batas untuk rawatan sebelum ditahan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Akta Imigresen 1959 kerana tiada dokumen perjalanan sah,” katanya.
Video suspek dipukul oleh orang awam tular di media sosial dan Noorzainy meminta orang awam tidak menyebarkan klip tersebut kerana suspek telah ditahan dan siasatan sedang dijalankan. – Malaysiapost

