Agong titah ahli politik bermuhasabah diri

0
2
YDPA Foto Krdit: Istana Negara

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihati rakyat khususnya ahli politik, untuk bersama bermuhasabah agar negara tidak sekali lagi diheret ke kancah politik yang tidak menentu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata, Al-Sultan Abdullah bertitah ketika ini kita semua masih berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akibat ancaman wabak Covid-19.

“Al-Sultan Abdullah turut mengulangi titah nasihat Seri Paduka Baginda kepada Ahli Parlimen, semasa Istiadat Perasmian Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-14 pada bulan Mei lalu untuk mempamerkan kematangan dalam berpolitik.

“Selain memahami serta menjiwai keluh kesah rakyat dan tidak mengabaikan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Seri Paduka menegaskan ahli-ahli politik seharusnya tidak mengakhiri perbezaan pendapat dengan permusuhan.

“Tetapi, sebaliknya menyelesaikan
permasalahan melalui perundingan dan proses-proses perundangan yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah turut menitahkan semua masjid di seluruh negara mengadakan solat hajat memohon agar penularan wabak Covid-19 dapat dibanteras.

Beliau berkata, titah itu susulan penguatkuasaaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Sabah, Selangor, Kuala Lumpur serta Putrajaya selain kewujudan beberapa kluster baharu di Kedah, Perak, Negeri Sembilan dan Labuan.

“Lantaran itu, Seri Paduka menasihati seluruh rakyat untuk terus memainkan peranan masing-masing dan berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard dan tatacara amalan kebiasaan baharu.

“Ia dalam membantu pihak berkuasa memerangi penularan Covid-19 demi keselamatan diri dan kesejahteraan negara.

“Mengambil keberkatan sempena hari Jumaat yang mulia ini, Al-Sultan Abdullah
turut menyeru seluruh rakyat untuk berdoa semoga negara yang kita cintai
bersama ini dikurniakan keamanan dan ketenangan agar kemakmuran dan kesejahteraan negara serta rakyat sentiasa terjamin, ” katanya. -Malaysiapost