Gabung Tun M, Ku Li muncul di tengah kemelut politik negara

0
2

Aiman Hanif

KENYATAAN terbaru orang kuat Tun Dr Mahathir Mohamad memberi gambaran bekas Perdana Menteri itu berganding dengan veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah bagi menyekat kemaraan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Putrajaya.

Ia bermula apabila Tengku Razaleigh dipanggil menghadap ke Istana Negara selang beberapa jam selepas Anwar selesai mempersembahkan jumlah sokongan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Kemudiannya disusuli dengan penyebaran gambar pertemuan Mahathir dengan Tengku Razaleigh ketika “ribut politik” melanda negara.

Hari ini orang kuat Mahathir, Khairuddin Abu Hassan berkata, gabungan dua tokoh itu diyakini rakyat dapat mengembali negara pada landasan politiknya.

“Tinjauan pendapat amat positif dengan regu Tun Dr Mahathir mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah untuk ambil-alih kepimpinan negara.

“Keseluruhan rakyat berpendapat kedua tokoh ini amat berpengalaman luas bagi mentadbir seterusnya membina semula Malaysia baharu.

“Kedua tokoh negarawan ini tidak mempunyai sebarang bentuk agenda kepentingan peribadi, selain dari hanya memikul tanggungjawab secara teramanah serta terbaik mungkin memimpin negara demi kepentingan bangsa mahupun negara,” kata Khairuddin dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam tersebar gambar pertemuan membabitkan Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang dengan Mahathir.

Sebaik gambar berkenaan tular, Khairuddin mendakwa ia adalah gambar lama yang dirakam ketika pertemuan dua tokoh itu.

Umum mengetahui Mahathir dan Tengku Razaleigh ataupun Ku Li pernah menjadi seteru ketika pertembungan antara Semangat 46 (S46) dan BN.

Malah, Ku Li hampir menewaskan Umno dalam satu pemilihan parti itu yang membawa kepada pengharaman parti teras orang Melayu terbabit.

Dalam pada itu, Khairuddin berkata, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah gagal untuk mentadbir negara ketika pandemik Covid-19 dan kedudukan ekonomi negara yang tidak menentu ketika ini.

“Perdana Menteri masa kini bukan seorang tokoh pemimpin yang mampu memacu negara ke peringkat yang cemerlang.

“Malahan, Muhyiddin hanya mampu berselindung di sebalik pandemik Covid-19 dengan retorik membelanjakan kedudukan kewangan negara yang dikumpul secara effektif oleh Tun Dr Mahathir ketika memimpin negara di bawah kerajaan PH selama 18 bulan,” katanya.- Malaysiapost