Aiman Hanif
PEMIMPIN Umno mengakui bahawa wujud perbincangan dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim soal sokongan, namun ia tidak serius.
Menurut seorang anggota biro politik Umno yang enggan namanya didedahkan berkata, Umno tidak pernah berhasrat untuk memberi sokongan kepada Anwar bagi memimpin negara sebagai Perdana Menteri.
“Memang diakui ada perbincangan dengan Anwar mengenai sokongan, tapi sekadar ‘geli-geli’ saja bukannya serius, sekadar untuk memberi tekanan saja.
“Umno tak pernah menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri. Bahkan keputusan parti jelas menolak sebarang kerjasama dengan DAP, Anwar dan Tu Dr Mahathir Mohamad,” katanya kepada Malaysiapost.
Kelmarin, mesyuarat biro politik Umno membuat pertimbangan untuk menarik sokongan terhadap kerajaan PN sekiranya syarat mereka tidak dipenuhi.
Perkara itu diumumkan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam sidang media selepas mesyuarat biro politik parti itu.
Umno mahu mengemukakan syarat serta perjanjian secara bertulis baharu bagi menyokong kerajaan PN.
Ditanya tentang kenyataan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu tidak dapat menghalang wakil rakyat menyokong Anwar.
Pemimpin Umno itu berkata apa yang dikatakan Zahid itu hanya pendirian politik saja, bukannya pendirian rasmi parti.
“Itu hanyalah pendirian politik Presiden Umno, dari segi parti kita telah membuat ketetapan tidak bekerjasama dengan Anwar.
“Pendirian kita ketika ini lebih kepada tekanan kepada Muhyiddin supaya memperbetulkan kembali kerjasama dengan Umno. Bukannya membuli Umno.
“Umno tidak akan keluar Perikatan Nasional (PN) dan Umno juga menolak Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan ketika ini sebab rakyat marah,” katanya lagi.- Malaysiapost.

