EMPAT surau dan satu masjid di Kampung Dalam Wang dan Padang Cik Mas, Mukim Pulai, Baling, Kedah diarah tutup bermula semalam, ekoran penularan Covid-19 di kawasan berkenaan.
Pegawai Agama Daerah Baling, Sheikh Mohd Haizan Hamzah, berkata penutupan empat surau dan satu masjid di kedua-dua kampung itu dibuat atas nasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Baling.
“Setakat ini belum ada tarikh pasti bila masjid dan surau itu akan dibuka, namun buat masa ini operasi masjid dan surau di kariah terbabit adalah diarahkan ditutup,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, semua aktiviti di masjid itu ditangguhkan termasuk Solat Jumaat dan majlis akad nikah.
“Bagaimanapun laungan azan dibenarkan sebagai makluman kepada anak kariah masuknya waktu solat, sementara solat fardu berjemaah di masjid dihadkan kepada tiga orang sahaja dengan mematuhi prosedur operasi standard,” katanya. -Malaysiapost

