SEORANG lelaki warga emas didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan hari ini, terhadap tuduhan mencederakan seekor kucing milik jirannya.
Tertuduh, Ab Hamid Ismail, 70, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim, Shahrul Rizal Majid.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sharif Sabran, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kesakitan tidak sepatutnya terhadap seekor kucing milik, Nur Amalin Aishah Ariffin secara menembak menggunakan sepucuk pistol angin, jam 10.30 malam di Jalan Pintu Gang, Kota Bharu.
Difahamkan kejadian itu disyaki dilakukan dengan cara menembak menggunakan sepucuk pistol angin dan dipercayai terkena serpihan peluru di bahagian telinga kanan haiwan peliharaan itu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772).
Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh didenda di antara RM20,000 hingga RM100,000 atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan 22 November depan bagi proses serahan dokumen. -Malaysiapost

