Pandikar Amin sokong Dewan Rakyat digantung

0
1
View of KL on the 27jun 2013. All most with out haze. Taken at tasik Titiwangsa.

Fitri Nizam

BEKAS Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia senada dengan Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran yang mengesyorkan Dewan Rakyat digantung.

Bagaimanapun, beliau berpendapat bahawa penggantungan Dewan Rakyat itu dibuat bukan atas alasan untuk memanjangkan usia kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sebaliknya, beliau berkata, penggantungan itu harus dibuat dengan alasan keselamatan rakyat Malaysia lebih penting daripada pilihan raya terutamanya ketika negara berdepan wabak Covid-19.

“Persoalan yang merunsingkan fikiran ramai rakyat Malaysia sekarang ini ialah, adakah bajet yang akan dibentangkan oleh kerajaan PN pada hujung tahun ini akan mendapat sokongan dari semua Ahli Parlimen.

“Kalau Parlimen tidak meluluskan bajet pada hujung tahun ini, mungkin salah satu daripada dua perkara menurut perlembagaan akan berlaku iaitu Parlimen akan dibubarkan dan pilihan raya akan diadakan (Artikel 43 (2)) atau Parlimen akan dilanjutkan usianya atau di ‘Prorogue’ (Artikel 55 (2) ),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, Ketua Umum Parti USNO itu berkata, adalah sebaik-baiknya jika Parlimen tidak dibubar sebaliknya digantung dengan alasan keselamatan rakyat lebih penting daripada pilihan raya.

Katanya, peningkatan kes Covid-19 susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah wajar dilihat dari sudut pandang yang amat serius dan dijadikan iktibar.

Justeru, beliau menyarakankan kerajaan PN membuktikan komitmen mereka untuk memerangi wabak Covid-19 ini dengan membuat rombakan kabinet dan mengadakan Kerajaan Perihatin bersama-sama pemimpin pembangkang.

“Dengan tindakan sedemikian, maka politik di Malaysia akan dapat dipinggirkan buat sementara waktu sehingga wabak Covid-19 dapat dikalahkan.

“Setelah wabak Covid-19 ditangani, maka barulah PRU-15 diadakan seperti yang dicadangkan oleh Presiden MIC,” katanya. -Malaysiapost