PEMANDU Perodua Myvi yang menyebabkan kematian anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dituduh di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini.
Wanita berusia 23 tahun berdepan lima pertuduhan termasuk memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian, penyalahgunaan dadah serta tidak memiliki lesen memandu.
Tertuduh yang memakai jaket hitam, tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 8.35 pagi dengan kenderaan polis dan diiringi oleh anggota trafik dengan kerusi roda.
Dalam kejadian pada jam 8.30 pagi, 10 Oktober lalu, pemandu, Honda Accord iaitu Laskar Kanan Mohd Rizal Buseri, 31, maut di tempat kejadian setelah dirempuh kenderaan Perodua Myvi dipandu wanita itu.
Wanita terbabit ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu selain turut didapati positif dadah hasil ujian saringan air kencing. -Malaysiapost


