Anwar beri keterangan esok

0
1

Fitri Nizam

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta hadir ke Bukit Aman esok untuk diambil keterangan berhubung penyebaran senarai nama 121 Ahli Parlimen yang menyokongnya bagi membentuk kerajaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Huzir Mohamed, berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Sehingga kini sebanyak 113 laporan polis telah diterima.

“Sehubungan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diminta untuk hadir memberi keterangan pada 16 Oktober ini di pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, bagi menjamin kesejahteraan dan keharmonian masyarakat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggesa orang ramai supaya tidak membuat, menerbit atau mengedarkan apa-apa kenyataan, khabar angin atau berita yang mempunyai kecenderungan mencetuskan suasana tidak harmoni, perpecahan, perasaan permusuhan hingga menggugat ketenteraman serta keselamatan awam.

Huzir sebelum ini dilaporkan berkata, siasatan terhadap Presiden PKR itu dibuka selepas pihaknya menerima laporan polis daripada Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris pada 8 Oktober lalu. – Malaysiapost