Naik pesawat rentas negeri, 4 individu didenda ingkar PKPB

0
1

EMPAT individu membabitkan seorang juruterbang dan tiga penumpang dikenakan tindakan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), semalam.

Mereka menaiki pesawat ringan jenis Piper Warrior PA 28, berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang di Selangor ke Pulau Tioman, Rompin, Pahang.

Keempat-empat mereka berusia antara 33 hingga 43 tahun dikenakan didenda kerana ingkar PKPB apabila gagal mendapatkan kebenaran polis bagi penerbangan ke Pulau Tioman.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azari Miskon, berkata empat individu terbabit masing-masing dikenakan kompaun RM1,000 mengikut Seksyen 11 Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 2020.

“Semakan di Pusat Operasi Covid-19 negeri memaklumkan tiada seorang pun mempunyai kebenaran sebelum berlepas dari Subang.

“Mereka melakukan perjalanan rentas negeri dari kawasan PKPB tanpa kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, mereka memberitahu kunjungan terbabit untuk menguruskan perniagaan menyelam, tetapi gagal mempamerkan kebenaran perjalanan rentas negeri, pas majikan atau perjalanan dengan tujuan kerja.

“Mereka akan bermalam di sini, sebelum diarah berpatah balik ke Subang esok (hari ini) kerana juruterbang memaklumkan dia tidak dibenarkan membawa pesawat malam ini dan pergerakan kumpulan ini akan dipantau pihak berkuasa,” katanya. -Malaysiapost