Gangguan bekalan air di Klang, Shah Alam pulih tengah hari ini

0
1

SEBANYAK 15 kawasan dalam daerah Klang dan Shah Alam yang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual sejak malam tadi, dijangka akan terima bekalan jam 12.30 tengah hari ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan berkata, pihaknya terpaksa menutup bekalan air mulai jam 10.30 malam tadi untuk melaksanakan kerja pembaikan paip pecah berdekatan pencawang elektrik di Jalan Bukit Raja, Klang.

Air Selangor memaklumkan, kerja-kerja pembaikan tersebut siap sepenuhnya pada jam 4 pagi tadi.

“Pengguna telah menerima bekalan air seawal jam 4.30 pagi dan pemulihan bekalan air ke 15 kawasan terjejas adalah secara berperingkat-peringkat berdasarkan jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan.

“Bekalan air di kawasan terlibat dijangka pulih sepenuhnya pada jam 12.30 tengah hari, hari ini,” katanya.

15 Kawasan yang terjejas adalah Batu Belah, Sungai Putus dan Teluk Kapas; Sementa; Perepat; Jalan Kapar Batu 1 hingga 8 dan Klang Utama; Bandar Klang (Batu 1 hingga 3 Jalan Meru); Bandar Baru Klang; Taman Berkeley dan Eng Ann; Jalan Goh Hock Huat; Bandar Sultan Sulaiman, Jalan Pelabuhan Utara; Pelabuhan Utara; Kampung Sireh dan Seri Perantau; Kampung Keretapi; Jalan Limbungan dan Jalan Shahbandar.

Orang ramai boleh dapatkan maklumat dari semasa ke semasa menerusi semua saluran komunikasi rasmi Air Selangor di Facebook, Twitter dan Instagram serta aplikasi telefon pintar dan lama sesawang di www.airselangor.com. -Malaysiapost