PAKATAN Harapan (PH) Sabah memutuskan untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Batu Sapi.
Pengerusi PH Sabah, Datuk Christina Liew, dalam kenyataannya, berkata keputusan itu adalah bagi menghormati Ahli Parlimen yang menduduki kerusi terbabit sebelum ini, iaitu mendiang Datuk Liew Vui Keong.
“Keputusan kami adalah bagi menunjukkan tanda hormat kami kepada mendiang Vui Keong yang menduduki kerusi Batu Sapi di bawah Parti Warisan Sabah (Warisan).
“Tambahan pula, PH Sabah merupakan rakan sekutu dalam gabungan Warisa Plus,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Sebelum ini Barisan Nasional (BN) dan Parti Cinta Sabah, juga memutuskan untuk tidak bertanding di PRK itu.
Christina yang juga Ketua PKR Sabah, menggesa agar parti atau individu lain untuk mengelak dari bertanding dalam PRK Batu Sapi atau memastikan pemantauan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP), sekiranya berhasrat ingin bertanding.
“Dengan mengambil iktibar dari Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang diadakan sebelum ini, adanya keperluan mengetatkan lagi SOP untuk pilihan raya,” katanya.
PH Sabah terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah sebagai parti komponen.
Media sebelum ini melaporkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh hari pengundian PRK Batu Sapi pada 5 Disember.
Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata hari penamaan calon pula ditetapkan pada 23 November, manakala hari pengundian awal pada 1 Disember.
Katanya, PRK Batu Sapi perlu diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi itu susulan kematian Vui Keong pada 2 Oktober lalu dipercayai akibat jangkitan paru-paru. -Malaysiapost

