PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) memperkenalkan Insentif Saringan Prihatin bagi membolehkan syarikat produksi membuat tuntutan caj ujian swab ke atas pelakon dan kru yang menjalani penggambaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Pengerusinya, Zakaria Abdul Hamid berkata, Finas mahu menggalakkan semua syarikat produksi yang menjalankan aktiviti penggambaran sepanjang tempoh PKPB melakukan ujian swab Covid-19 terhadap pelakon dan kru atas faktor keselamatan serta kesihatan mereka.
“Kita mahu kesihatan dan keselamatan kru dan pelakon di lokasi penggambaran di bawah zon PKPB di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya terjamin, selain mengekang penularan wabak Covid-19 daripada terus berleluasa,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian, hari ini.
Zakaria berkata, Insentif Saringan Prihatin yang diperkenalkan Finas bagaimanapun tertakluk kepada beberapa syarat seperti syarikat produksi menjalankan aktiviti penggambaran dalam tempoh PKPB iaitu mulai hari ini hingga 27 Oktober ini.
“Kos saringan atau ujian swab Covid-19 ke atas kru dan artis hendaklah ditanggung terlebih dahulu syarikat produksi dan perlu mengemukakan dokumen tuntutan kepada Finas.
“Selain itu, tuntutan insentif ini hanya melalui syarikat produksi yang berdaftar di bawah Finas sahaja,” katanya.
Beliau berkata, kadar maksimum bagi tuntutan insentif ini adalah sebanyak RM5,000 bagi setiap syarikat produksi.
“Ujian swab hanya hanya boleh dilakukan melalui pakej khas Finas di klinik panel berdaftar iaitu Megaklinik Zahran, Bandar Baru Bangi.
” Megaklinik Zahran juga boleh menjalankan ujian saringan di lokasi penggambaran yang dipersetujui,” katanya. – Malaysiapost
